Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Monday, April 9, 2018

Day 3: Osaka, Jepun Musim Luruh (Autumn) 2016 7H6M

Alhamdulillah. Allah itu Maha Adil. Orang yang berusaha keras dan ikhlas dapat ganjaran. Orang yang banyak memberi alasan dan mencari jalan pintas untuk berjaya juga dapat habuannya. Sama-samalah kita bermuhasabah diri, mengambil iktibar dan perbaiki diri ke arah yang lebih baik. Ok, cukup sedikit makanan untuk rohani. Jom sambung cerita di Jepun. 💕 

Hari ini nak kongsi tentang hari ketiga di Jepun. Misi hari ketiga juga melawat sekitar Kyoto. Cuma rasa excited lebih sikit dari hari lain sebab destinasi pertama kami pada hari tersebut ialah melawat Arashiyama iaitu antara tempat yang kami boleh kategorikan sebagai tempat yang wajib dilawati di Jepun. Sejak tengok gambar-gambar di Google semasa buat research untuk confirmkan itinerary dengan tour guide, terus jatuh cinta pandang pertama dengan tempat ini dan langsung pesan pada tour guide supaya jangan buang tempat ini dari itinerary kami. Ha ha. Sampai macam tu sekali la kan.


Pagi itu kami keluar awal sedikit dari biasa sebab Arashiyama ni jauh sedikit. Seperti biasa, setelah bersarapan bagi mengalas perut buat tenaga untuk memulakan hari, kami keluar dari guest house berjalan kaki ke Nagai Station untuk ke Kyoto Station. Kenapa ke Kyoto Station lagi? Kyoto Station ni sebenarnya boleh diumpamakan sebagai KL Sentral la di Malaysia. Macam-macam jenis public transport boleh didapati di sini. Cuma bezanya keluasannya lebih besar berganda-ganda. Di Kyoto Station, kami naik bas ke Arashiyama iaitu perhentian terakhir bas tersebut. Jadi, lama la jugak dalam bas tu sampai tertidur. Ha ha. Faktor bangun awal juga barangkali. Turun bas tu, mata masih separuh mengantuk. Dalam dok berjalan tinjau keadaan sekeliling, tour guide beritahu ada satu kedai ni jual green tea ice cream atau matcha ice cream dengan harga yang murah. Terus segar mata. 😁 Kebetulan memang nak cuba green tea ice cream di Jepun. Maka, terus capai purse dan beli. Tak rugi. Sedap dan memang betul murah. Sepanjang 7 hari di Jepun, aku dok perhati juga la harga matcha ice cream kedai lain, memang harga yang ditawarkan oleh kedai ini antara yang termurah. Memang berbaloi.



Green Tea Ice Cream or Matcha Ice Cream
Setelah menikmati green tea ice cream, kami berjalan menyusuri Katsura River. Best layan bunyi air mengalir sambil kejar burung 😁


Nampak tak jambatan panjang dalam gambar di atas? Itu adalah Togetsukyo Bridge yang panjangnya 155m kalau tak salah. Nampak macam jambatan biasa tapi sebenarnya bukan biasa-biasa. Ia menjadi landmark Arashiyama. Jambatan ini menjadi tumpuan dan tarikan pelancong kerana pemandangan di sekitarnya.

Pemandangan dari atas Togetsukyo Bridge
Kombinasi antara, bukit, sungai dan sampan atau boat kecil menjadikan pemandangan di atas jambatan ini cukup indah. Bayangkan saat mekarnya cherry blossoms atau saat autumn leaves telah bertukar warna, pasti pemandangannya sangat memukau. Menyesal tak bawa kamera yang cantik. Hanya guna kamera handphone sahaja. Jadi, kualiti gambar pun sedang-sedang sahaja.

Kemudian, kami berjalan ke sekitar pekan Arashiyama. Menariknya di sini, banyak perkhidmatan beca tarik. Kami tak cuba pun, sekadar tengok sahaja sebab kami berpendapat harganya agak mahal. Banyak juga kedai menjual pelbagai barangan seperti makanan dan cenderamata yang dijual di sini. Cenderamata yang terkini dan terkenal ketika itu ialah handkerchief bercorak autumn leaves. 


Seterusnya, kami berjalan ke Bamboo Grooves iaitu destinasi utama yang kami ingin tuju di Arashiyama.


Entrance ke Arashiyama Bamboo Grooves
Ya Allah, cantiknya! Pokok-pokok buluh yang besar dan tinggi di kiri dan kanan membuatkan pemandangannya sangat indah. Malangnya, kamera aku buat hal. Kebanyakan gambar kabur jadi tak dapat nak kongsi gambar cantik di sini. Kecewa betul. Harap ada rezeki lagi sampai ke sini.


Sama seperti laluan torii di Fushimi Inari, laluan bamboo ini juga sesak dengan orang ramai. Maka, pandai-pandailah ambil gambar di sudut yang terbaik. 💪
Jalan keluar dari Bamboo Grooves ke river.

Sempat lepak di tepi sungai melihat boat kecil sebelum mencari lunch.
Lunch kami pada hari ketiga di Jepun adalah di Yoshiya Oku no Niwa, sebuah restoran halal di Arashiyama. Suasana dalam restoran ini agak eksklusif. Gaya restoran mewah. Tetapi harga menunya sangat berpatutan. Makanan pun sedap sangat. Boleh pilih tempat makan nak duduk bersila atau berkerusi. Kami memilih yang tidak berkerusi kerana nak melunjurkan kaki setelah puas berjalan sekitar Arashiyama.

Setelah mengisi perut, kami menaiki bas ke Gion. Di Gion, kami berjalan-jalan dari kedai ke kedai mencuci mata sambil mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Dalam dok berjalan tu, terjumpa pulak kedai yang jual coklat dan biskut dengan harga murah. Maka, memborong la kami di situ.

Dua gambar di bawah ini ialah Kamogawa Riverside. Boleh nampak orang melepak menghirup angin petang. Kata tour guide, kalau hari cuti lagi ramai yang melepak sini. Selain ikan, ada juga itik-itik comel berenang. Damai sungguh.




Destinasi seterusnya ialah Kiyomizudera Temple. Oleh kerana pada masa ini aku dan kawan aku yang sorang ni dah kurang stamina dan kaki pun sakit dek kerana banyak berjalan dan berdiri, kami berdua ambil keputusan tunggu di bawah sahaja. Sementara, tunggu yang lain mendaki ke temple tu, kami duduk sebentar makan snack sambil cuci mata di gerai cenderamata yang ada kat situ.


Setelah yang lain turun, kami menaiki bas ke Kyoto Station. Ingat lagi tak, aku ada cerita dalam entry Day 2 yang kami berkejaran ke tempat lunch tetapi malangnya restoran tersebut tutup. Jadi, untuk hari ketiga kami sekali lagi ke restoran tersebut iaitu Restoran Halal Ayam-YA yang terletak lebih kurang 300 meter dari Kyoto Station bagi menikmati dinner.





Sedap dan portion nya agak besar. Puas juga la nak menghabiskan satu mangkuk. Sampai terdampar kekenyangan. Ha ha. Dah isi perut, baru ada tenaga nak berjalan lagi kan. Maka, sebelum balik singgah sebentar di Bic Camera.




Macam-macam ada di Bic Camera ni. Ada jual basikal, barangan elektrik, barangan elektronik, mainan dan banyak lagi. Ada 7 tingkat semuanya. Niat di hati nak cari mainan untuk anak buah tetapi takde yang berkenan. Ada yang berkenan termahal pulak. So, pulang dengan tangan kosong. Kawan aku beli jam dekat sini.


  
Gundam


Jam buat peminat Hello Kitty
Selesai shopping di Bic Camera, kami pun pulang. Tamat Day 3 di Jepun.

p/s: Mood tengah rajin nak menulis. Semoga sempat habiskan semua entry Jepun sebelum mood terbang melayang. Pray for me! 💖

Thursday, April 5, 2018

Day 2: Osaka, Jepun Musim Luruh (Autumn) 2016 7H6M

Pergh!!! Langsung tak boleh nak keep track untuk update blog. 😅 Lamanya la kan. Bila nak habis cerita di Osaka, Japan ni? Baru nak masuk Day 2 ni. Ada lagi sampai Day 7. Ha ha. Harap korang bertabah la, ya. 💪 Ok, Day 2 in Japan. Misi utama pada hari tersebut ialah melawat sekitar Kyoto. So, selepas breakfast ala kadar, kami terus keluar dari guest house dan berjalan kaki ke Nagai Station untuk ambil subway ke Shin-Osaka StationKalau nak merasa naik Shinkansen (Japan’s high speed bullet trains), boleh la beli tiket di Shin-Osaka Station ni. Kami tak naik pun sebab ia tidak tersenarai dalam senarai tempat yang kami ingin lawati dan tidak termasuk dalam belanjawan kami. Ha ha. Maka, sekadar lalu sambil ambil gambar je.

Kaki tu 🙈

Kemudian, kami menyambung perjalanan dari situ ke Kyoto Station.



Di Kyoto Station, kami beli Kyoto one-day bus pass sebab memang nak pusing Kyoto 1 hari suntuk. So, jimat sikit kan. 



Dah beli tiket tu, kitorang cepat-cepat la pergi beratur ke platform yang betul untuk naik city bus ke destinasi pertama kami pada hari itu iaitu Fushimi Inari Shrine yang terkenal dengan torii, pintu gerbang berwarna oren.  

Beratur tunggu bas sampai

Fushimi Inari Shrine ini ialah salah satu tempat yang aku rasa korang wajib datang sebab pemandangannya sangat cantik dan masuk adalah percuma. Dari pintu masuk lagi korang akan rasa teruja yang melampau. Mungkin faktor warna oren yang mengancam dan seksi. 😁 Selain terkenal dengan torii yang berwarna oren, ia juga sinonim dengan haiwan rubah atau fox. Bukan saja-saja tau, ada simboliknya. Tapi malas pulak aku nak mengarang kat sini, korang cari la sendiri infonya ya. 😜




 

Untuk pengetahuan, torii ini laluannya agak sempit. Jadi, kena pandai cari angle untuk ambil gambar sebab orang memang sesak gila. So, gunalah kebijaksanaan korang untuk dapat the best shot.


Laluan torii


Got the angle but use the wrong camera (low quality) 💢

Souvenir pun banyak boleh beli di sini sebab ada yang unik dan hanya boleh didapati di sini sahaja. Harganya sangat berpatutan. Sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya, kami singgah di salah satu gerai yang menjual jus orange yang boleh terus diminum dari buah. Maksudnya, tebuk lubang pada buah dan letak straw. Malas nak share gambar sebab tak cantik dek kerana poor quality of camera. Tapi korang jangan bayang saiznya macam oren sunquick kat Malaysia tu pulak. Ha ha. Besar sikit dalam 2 @ 3 kali ganda. Sedap dan fresh sangat!

Oleh kerana terlalu asyik menikmati pemandangan cantik dan sibuk mengambil gambar sana sini di shrine tersebut, kami telah tersasar dari perancangan masa kami. Akibatnya, kami terpaksa berkejaran menaiki bas dan berjalan untuk ke tempat lunch. Namun, nasib kami kurang baik kerana apabila sampai, restoran tersebut tutup kerana rupanya hari itu adalah public holiday. Patutlah ramai semacam. Sana sini penuh orang. Takde pilihan lain, kami terpaksa berpatah balik dan menukar pelan. Lastly, kami mengambil keputusan ke Restoran Halal Gion Naritaya. Makanan sedap sangat! 👍 Malah, ada surau kecil. Tandasnya juga dilengkapi dengan tempat wudhu'. Sangat menyenangkan. Walaupun agak sempit tetapi selesa dan bersih. 

Chicken Rice bowl Set 1,200円 (Sho-yu Ramen + Soy Sauce Flavoured Chicken Rice Bowl)

Halal wagyu rice bowl 850円

Setelah selesai makan dan solat, kami ke Yasaka Shrine. Di sini, boleh lihat ratusan lantern atau tanglung. Better pergi malam, boleh tengok cahaya tanglung.



Dari Yasaka Shrine kami terus berjalan ke Maruyama Park. Sebenarnya, park ini terkenal untuk cherry blossom viewing spot tetapi kami pergi masa tengah beralih musim kan, so tak dapatlah tengok.





Then, kami berjalan-jalan di Pontocho, Kawaramachi dan Shinkyogoku Shopping Street serta Philosopher Path. Pada saat itu, kami tidak banyak bergambar. Hanya berjalan menikmati keindahan malam sambil sedikit aktiviti membeli-belah kerana masing-masing sudah hampir kehabisan tenaga dan bateri kamera serta handphone juga telah nazak. 




Oleh kerana terlalu letih, kami mengambil keputusan untuk singgah di Ashoka Indian Restaurant yang terletak di Shinkyogoku Shopping Street untuk bungkus makan malam dan terus balik ke guest house.


Take away dinner from Ashoka Indian Restaurant

Setelah bekerjasama melakukan laundry, kami pun terus tidur. Tamat Day 2 di Jepun.

p/s: Majoriti makanan Jepun yang kami makan sepanjang di Jepun adalah berunsurkan mi (noodles) atau ramen. Even, menu nasi pun mesti akan dipasangkan dengan noodles atau soba. Nasib baik sedap untuk aku yang tidak berapa suka dengan makanan berjenis mi berkuah. 😋

Sunday, April 1, 2018

Nota 1 Alam Pekerjaan


Bulan lepas merupakan bulan yang benar-benar mencabar fizikal, minda dan hati aku. Banyak sangat urusan kerja yang perlu diselesaikan dalam masa yang singkat. Huru-hara! 😅 Tambah pula terpaksa melayan kerenah manusia yang bermacam-macam jenis. Annoying! 💢 Semakin hari kesabaran semakin menipis, malah hampir terbang melayang. Nasib baik la, Allah kurniakan beberapa sahabat yang banyak memberi bantuan dan sokongan. Benarlah kata orang, di saat kita susah macam ni, baru lah kita kenal dan nampak siapa yang benar-benar ikhlas di samping kita. Alhamdulillah, syukur. Terima kasih, sahabat! Sayang kalian dunia dan akhirat. 💖 InsyaAllah. 💕

Bila difikirkan balik, kerja yang menimbun dan masa yang suntuk tu takde hal sangat pun. Tetapi yang menjadi hal, bila terpaksa berdepan dengan manusia-manusia yang secara umumnya boleh dikategorikan sebagai pentingkan diri. Hmmm… Sedih dan kecewa betul. Takpe lah, kita tak tahu dan tak boleh control hati orang. Maka, jagalah hati kita sebaiknya. Apa-apa pun, banyak pengajaran yang aku dapat di sebalik kesusahan serta kesulitan yang aku hadapi sepanjang bulan lepas. Antaranya ialah:-

1. Sabar itu indah
Seperti yang aku katakan tadi, bila kau berhadapan dengan kerja yang menimbun, dateline yang singkat, serta terpaksa melayan sekumpulan manusia dengan 1001 kerenah serentak, boleh bayangkan tak stress levelnya di tahap mana? 💣 Bertambah stress bila kau ditugaskan untuk mengajar mereka sesuatu tetapi mereka tidak dapat menerima malah menyalahkan kau apabila proses pembelajaran tersebut seperti tidak sampai kepada mereka. Sedangkan kau telah mengajar sampai tahap menyuap nasi ke mulut mereka, tinggal untuk mereka kunyah dan telan sahaja. 😶 Sesetengahnya boleh dikatakan juga aku telah mengunyahkan makanan tersebut untuk mereka. Tinggal nak telan sahaja. Tambah lagi, bila kau cuba memperbetulkan kesalahan mereka, mereka pula sibuk mencari kesalahan kau. 😠 Ya Allah, beristighfar panjang aku dibuatnya. 😷 Mujurlah, menjelang usia yang dah nak masuk 3 series ni, aku banyak bersabar dan redha saja dalam menghadapi sesuatu. Bak kata one of my colleagues, sabar is good! Alhamdulillah berkat kesabaran, Allah murahkan rezeki aku. 😊 Dan mereka-mereka itu juga menjadi lembut hati. Syukurlah. 💗

2. Memudahkan urusan orang lain
Hmmm... Bercakap tentang ini buat aku sebak. 😢 Bagi aku, buat apa lah kita nak berkira sangat dalam bekerja. Ingat, langit tidak selalunya cerah dan kita tidak selalunya di atas. Hari ini hari hari dia, tetapi hari esok kita belum tahu. Mungkin hari ini dia susah, mungkin esok kita pula yang susah. Ikhlaskanlah hati. Jangan terlalu berkira untuk membantu orang lain. Percayalah, andai kita ditimpa kesusahan suatu hari nanti, InsyaAllah Allah akan hadirkan pula seseorang untuk membantu kita. Kalau kita tak boleh nak tolong kerana kekangan hal-hal tertentu, cukuplah sekadar kata semangat sebagai tanda sokongan. Jangan pula menyusahkan dan menambah bebannya dengan kata-kata yang menyakitkan hati. 


3. Ada yang lebih susah
Apabila kita ditimpa kesusahan, janganlah merasa yang dunia kita telah gelap sampaikan hal lain langsung terabai. Lebih teruk, apabila kita mengheret orang lain sekali ke dalam masalah kita. Kalau kita merasa tertekan, kenapa kita perlu melepaskan kepada orang lain? Tekanan boleh dilepaskan tetapi biarlah dengan cara yang betul. Kita boleh meluahkan apa yang terbuku tetapi jangan sampai kita menengking sehingga memalukan atau mengguris perasaan orang lain. Ingat, bukan kita seorang sahaja yang mempunyai masalah. Mungkin ketika ditimpa kesusahan, kita merasakan kitalah orang yang paling susah sekali ketika itu dan tidak ada orang lain yang boleh faham situasi kita. Tetapi cuba sesekali kita memandang sekeliling dan meletakkan diri kita pada tempat orang lain. Siapa tahu kadang-kadang orang yang selalu tersenyum di hadapan kita sedang menghadapi kesulitan yang lebih rumit berbanding kita. Banyakkan bersabar dan jangan mengeluh. Mengadulah kepada Allah dan minta pertolongan dari-Nya. InsyaAllah, kita akan lebih tenang dalam menghadapi kesulitan itu dan segala urusan menjadi lebih mudah. 💕

Kesimpulannya, bekerjalah dengan niat kerana Allah. Jauhilah dari sifat iri hati atau hasad dengki sesama rakan sekerja.  Buanglah sifat pentingkan diri dalam diri kerana itulah yang akan membuatkan kita ego, bongkak dan sombong.

Sebenarnya banyak lagi yang nak aku kongsikan, tetapi untuk hari ini cukup sampai di sini dahulu perkongsian aku. Sebab tetiba aku mati kutu untuk menyambung penulisan. Ha ha ha. Mood swing sangat! 😅


p/s: Islam memerintahkan umatnya untuk bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah SWT tetapi juga hubungan sesama manusia. Fikir-fikirkanlah 👀