Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Saturday, December 17, 2016

Kenangan Terindah di Alor Pongsu


Bermula dengan 1 kad jemputan, siapa sangka 4 Disember menjadi tarikh keramat yang mengusik jiwa, mengungkit memori lama serta mencipta kenangan yang takkan dapat dilupakan.

Dua minggu lepas, abang aku ada cakap nak pergi kenduri di Alor Pongsu. Oleh kerana aku ni bukan jenis yang suka sangat pergi makan kenduri di rumah orang yang aku tak kenal, maka takde la rasa nak mengikut. Walaupun sebenarnya hati ini sedikit terusik mendengar perkataan "Alor Pongsu". Kenapa? Kerana di situ lah tempat aku membesar sehingga lah ayah aku meninggal 20 tahun lalu. Banyak kenangan bersama arwah ayah di sana. Dah lama sangat tak menjejak kaki ke sana. Seingat aku, lepas kami pindah ke Kedah, ada la dalam 3 kali kot kami menjengah untuk jumpa kawan-kawan lama serta menguruskan beberapa hal arwah ayah. Jadi, bila mak dan kakak aku ajak pergi sekali, aku tak fikir panjang, terus ikut.

Kami gerak dari KL pada 3 Disember. Bermalam dulu di Bagan Datoh. Rumah mertua abang aku yang dijadikan homestay. Sampai dah malam tapi sempat la jugak anak buah aku berendam dalam kolam renang walaupun sekejap. Esok tu kami gerak lambat ke rumah kenduri untuk bagi masa kat dia berendam sampai puas. Dengan aku sekali join berendam 😂 Siap main perahu lagi kat kolam ikan. Akibatnya kami sampai lambat kat tempat kenduri. Mak aku kata sana biasanya kenduri habis awal. Alhamdulillah rezeki kami, ada la lagi lauk. Kata tuan rumah tetamu yang datang melebihi dari yang dijangka. Aku memang tak kenal tuan rumah. Tapi menurut kata abang dan mak aku, dia dulu sama-sama bekerja di kilang beras ayah aku. Aku memang langsung tak ingat.

Murah betul rezeki aku hari tu. Aku baru saja cakap kat mak teringin nak makan pulut kacau. Kebetulan door gift tuan rumah ialah pulut kacau. Sedap! Masa makan, aku cakap dengan kakak aku. Terasa macam nak pergi melawat rumah kami yang dulu. Sebab dah alang2 sampai situ. Rupanya bukan aku sorang fikir macam tu. Abang dan kakak aku pun fikir benda yang sama. Maka, lepas kenduri tu kami pun jalan-jalan la tengok kawasan situ. Abang aku la yang paling seronok sebab dia dapat jumpa balik kawan2 dia yang dulu. Aku ni kurang ingatan sikit. Tak berapa nak kenal atau ingat orang sangat. Maklum la masa kami pindah ke Kedah tu aku baru darjah 2. Mana la aku ingat sangat.

Dalam perjalanan ke rumah lama kami, jumpa tadika tempat aku belajar dulu di Surau Al-Ansar. Kata abang, pernah dia dan arwah ayah terlupa nak ambik aku. Mencebik ja aku sebab semua orang dah balik. Tinggal aku sorang je. 😭 Dia cakap lagi, aku ni suka baca buku kartun. Then, gelak sorang2. Hahaha. Yang tu memang aku ingat. Aku memang gila komik. Pantang arwah ayah keluar, mesti aku kirim komik. 😛

Jumpa jugak klinik kesihatan tempat aku dan kawan2 bermain. Tak jauh pun dengan rumah kami. Aku ingat lagi kayuh basikal ke sana. Kat situ ada taman. Ada pondok macam gazebo kat taman tu. Kat situ la aku main masak2 dan doktor2 dengan kawan2 aku. Aku juga ingat masa aku sakit tengah malam (demam ke apa entah), arwah ayah bawa aku ke klinik tu ketuk pintu rumah doktor malam tu.

Sampai rumah lama kami, aku sedih sangat. Dah terbiar. Last aku datang, rumah tu dijadikan pondok polis. Berdepan dengan rumah kami dulu ada kilang beras. Dulu aku suka main kat kilang tu jugak. Tangkap ikan kecik kat parit depan tu. Main anak tikus yang tak berbulu. Haha. Di kilang tu jugak aku belajar tunggang basikal. Dan aku pernah kena langgar dengan motosikal depan kilang tu. Ya Allah, rindunya... Tak terkata perasaan ni. Hanya Tuhan saja yang tahu. Tak lama pun kat situ. Tak berhenti pun. Lalu sahaja. Terkilan juga tak berhenti dan ambil gambar buat melepaskan rindu tapi Insya Allah panjang umur, ada rezeki aku datang lagi.

Lepas tu kami berangkat ke rumah Pak Mid. Dalam banyak2 orang, aku paling ingat muka Pak Mid. Tak sangka kami dapat juga bertemu. Walaupun rumah Pak Mid dan kawasan sekitar dah berubah, dengan izin Allah kami jumpa jugak rumah Pak Mid. Seronok dengar Pak Mid bercerita tentang hal dulu. Tentang arwah ayah terutamanya 😊

Depan rumah Pak Mid ada pokok ceri. Bukan buah ceri yang letak kat kek tu. Ceri Malaysia. Tak tahu la aku nama betulnya. Haha. Rumah lama aku dulu pun ada pokok ceri jugak. Aku memang suka makan. Manis sangat! Isi dia penuh dengan biji2 halus. Sekarang aku jarang jumpa pokok ni. Anak buah aku pun tak kenal buah ni. Nak balik tu Pak Mid bekalkan kami dengan beberapa biji buah kelapa pandan muda.

Hmm.. Entah bila pula dapat datang lagi. Seronok sangat dapat mengimbau memori lama. Akan aku simpan semua kenangan ini rapi di dalam hati.

p/s: Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Yakinlah dengan Allah dan sentiasalah mengucapkan syukur pada-Nya.

No comments: